Kaki siasat
Awal perkenalan, pasangan mungkin ditatang bagai minyak yang penuh, bahkan segala kemahuan dituruti. Namun sejak kebelakangan lama kelamaan ada sahaja yang tidak kena. Kalau boleh dia cuba mengawal setiap pergerakan. Ke mana, dengan siapa bersama dan yang paling penting ada atau tidak lelaki bersama anda. Jika ada, anda akan disiasatnya dengan terperinci. Boleh dikatakan siasatan pasangan mengalahkan pihak berkuasa. Anda mungkin berasa seperti seorang pesalah yang sedang menanti hukuman untuk dijatuhkan.
 
Sentiasa curiga
Lelaki kaki cemburu akan sentiasa menganggap pasangannya berlaku curang. Kenapa? Kerana dia tidak yakin dengan kesetiaan wanita. Sukar baginya untuk mempercayai, tambahan pula apabila pasangan sering diganggu dan kebanyakan daripada mereka yang mengganggu itu adalah kerana terpikat dek kecantikan wanita pujaannya. Walaupun tidak melayan mana-mana lelaki yang cuba mengganggu, dia tetap merasakan yang pasangan cuba menduakan dirinya. Padahal anda tidak tahu dan bersalah dalam hal ini. Apa yang boleh anda lakukan hanyalah bersabar dan makan hati.
 
Panas baran
Ini merupakan salah satu ciri si kaki cemburu. Suami atau teman lelaki yang anda kenali dengan lebih mendalam mungkin mempunyai perangai yang suka marah. Salah sedikit sahaja tapi kemarahannya bukan main lagi. Sakit hati bukan? Panas baran ini kalau tidak ditangani dengan baik mungkin akan mendatangkan padah, silap hari bulan tangan boleh naik ke muka.
 
Tidak pernah puas
Betul atau tidak dia individu seperti ini? Sudah tentu kamu mengatakan “ya”. Si kaki cemburu tidak pernah berpuas hati dengan orang yang disayanginya. Ada sahaja kesalahan yang dicarinya. Dari sekecil-kecil zarah hinggalah sebesar-besar kesalahan. Susah untuk memuaskan hatinya. Sikap ini akan membuatkan pasangan berfikir, kenapa si dia harus begini dan apakah salah anda. Pada satu tahap pasangan akan berada dalam keadaan yang sangat tertekan. Namun setiap daripada kata-kata anda tidak diterimanya malah air mata menjadi peneman setia setiap hari.
 
Kuat mengongkong
Dahulunya anda bebas ke sana ke mari dengan sesiapa sahaja yang anda suka tapi sekarang tidak lagi. Semua perkara yang anda lakukan perlulah mendapat kebenarannya terlebih dahulu. Anda tidak boleh melakukan sesuatu perkara itu tanpa pengetahuan si dia. Seolah-olah kehidupan anda berada di tangannya. Anda pula harus akur dengan peraturan yang diciptanya. Nak tak nak anda terpaksa ikut. Jadi fikir-fikirkanlah.
 
Ambil kesempatan
Ini memberi maksud si dia mengambil kesempatan di atas kelemahan kamu. Memandangkan anda tidak pernah melawan, setiap daripada kata-katanya perlu diikuti tanpa ada bantahan menyebabkan si dia menggunakan kesempatan itu. Setiap kali keluar, pasti si dia akan mengambil telefon bimbit anda dengan tujuan untuk melihat mesej-mesej yang boleh mengundang kemarahannya. Malah si dia akan mengambil tahu banyak perkara tentang diri anda. Ini akan digunakan agar anda tidak dapat lari daripadanya.