Rasanya semua wanita akan bersetuju bahawa kulit yang cantik, bersih, licin dan halus adalah kulit yang menjadi dambaan. Saat anda meraikan hari bahagia baik pertunangan ataupun persandingan, pastinya jurusolek profesional yang bakal menata rias wajah. Namun, tiada salahnya jika anda sendiri mempunyai sedikit pengetahuan tentang asas solekan agar penampilan di hari bahagia tidak mengecewakan.
 
Pastikan Kulit Sentiasa Sihat
Sewaktu mencuci wajah, pastikan anda mengelupas dan melembapkannya dengan sempurna. Lama kelamaan, anda akan sedar yang anda tidak perlukan ‘concealer’ untuk menutup cela di wajah dan bedak asas juga hanya perlu disapu tipis.
 
Lembapkan Kulit Terlebih Dahulu
Sapuan ‘concealer’ pada kulit kering akan menyerlahkan lagi garis-garis halus yang ada pada wajah. Inilah sebabnya anda perlu melembapkannya terlebih dahulu kerana lembapan yang sempurna akan menjadikan wajah tampak lebih berseri dan bercahaya.
 
Sapu ‘Concealer’ Sebelum Bedak Asas
Apabila sudah meratakan ‘concealer’ pada wajah, anda tidak lagi memerlukan sapuan bedak asas yang banyak. Untuk kesan yang terbaik, pakailah ‘concealer’ pada bawah mata, di sepanjang hidung dan juga pada dagu. Sewaktu memakai ‘concealer’, pastikan anda memberi lebih perhatian pada bahagian merah di tepi hidung. Elakkan menyapu ‘concealer’ di bahagian tersebut. Selepas selesai, mengundur beberapa langkah dari cermin untuk melihat sejauh manakah cerahnya wajah anda.
 
Elak Menyapu Bedak Asas Pada Seluruh Wajah
Hanya sesetengah orang sahaja perlu menyapukan bedak asas pada seluruh wajahnya. Sebaiknya, sapulah pada bahagian di mana warna kulit anda tidak rata (biasanya di bahagian hidung). Untuk kesan sapuan bedak asas yang lebih semulajadi pula, pilihlah bedak asas jenis lutsinar yang bertekstur lebih ringan.
 
Adunkan Bedak Asas Dengan Betul
Sentiasa mulakan untuk menyapu bedak asas di tengah-tengah wajah dan kemudian barulah disapukan ke arah luar. Adunkan bedak asas dari muka ke leher dengan sebati. Usah biarkan orang perasan yang wajah dan leher anda mempunyai garisan sempadan
 
Pilihlah Warna dan Formula Yang Betul Untuk Jenis Kulit Anda
Pilihlah warna yang paling hampir dengan warna semulajadi kulit anda. Jangan cuba menggelapkan kulit anda kerana ia pasti akan kelihatan pelik di wajah anda. Bagi jenis kulit berminyak, anda boleh memilih bedak asas jenis ‘matte’. Untuk kulit kering pula, pilihlah formula yang melembapkan. Satu tip untuk memilih bedak asas ialah elakkan mencubanya di belakang tapak tangan. Adalah lebih baik anda cuba menyapukan sedikit di garisan rahang kerana ia akan memberikan pilihan warna yang lebih tepat.
 
Gunakan Span, Berus atau Jari
Tidak ada cara yang betul untuk menyapukan bedak asas. Ia sebenarnya berkaitan dengan keselesaan dan kemahuan. Ada segelintir mekap artis yang lebih suka menyapukan bedak asas dengan menggunakan berus. Sebenarnya sapuan dengan berus mampu menutupi cela-cela kecil di wajah termasuklah melindungi pori-pori. Ada juga mekap artis yang percaya sapuan dengan jari akan memberikan kesan yang lebih cantik. Manakala span pula menjadikan sapuan lebih menyeluruh. Apapun, ia bergantung kepada kehendak dan keinginan anda.
 
Bagaimana Untuk Menutup Kesan Hitam di Bawah Mata?
Anda boleh memilih ‘concealer’ warna pic atau kuning. Tepekkan ‘concealer’ tersebut di bahagian hujung mata dan bawakan sedikit ke tengah mata. Kemudian, bersoleklah seperti biasa.
 
Wajah Berkerak Dengan Bedak
Untuk memastikan wajah anda tidak tebal dengan bedak asas dan bedak, pastikan anda menyerap minyak yang ada di wajah terlebih dahulu sebelum mula bersolek. Ada banyak tisu penyerap minyak yang dijual di farmasi dan anda boleh mencubanya untuk kesan solekan yang lebih semulajadi.
 
Semburkan Wajah Dengan Penyembur Khas
Selepas selesai bersolek, semburkan wajah dengan semburan air Evian atau yang seumpamanya. Air ini membantu wajah menjadi lebih segar dan tidak nampak terlalu tebal dengan solekan.