Tiada indahnya majlis perkahwinan tanpa jambangan bunga yang menghiasi. Tiada serinya sang mempelai tanpa bunga tangan digenggaman. Begitulah peri pentingnya hiasan bunga dalam setiap sudut majlis baik pertunangan mahupun perkahwinan.
Penggunaan bunga-bungaan sememangnya menjadi penyeri kepada mood dan suasana keseluruhan majlis. Jika dahulu, bunga-bunga segar sering menjadi pilihan kerana keindahan dan keharuman semulajadinya yang membangkitkan suasana harmoni setiap sudut ruang. Namun, dengan kemajuan teknologi, bunga artificial sudah berevolusi. Kualitinya semakin diperbaiki malahan menjadi pilihan utama kerana warna dan ketahanannya.
Walau apa pun jenisnya, segar atau artifisial, kedua-duanya mempunyai kelebihan yang tersendiri. Yang pasti, setiap majlis yang dihiasi bunga-bungaan berwarna warni akan lebih menyerlah dan berseri.
 
Bunga segar
  • Bunga segar akan memancarkan keharuman yang lebih istimewa dan semula jadi.
  • Lebih kaya dengan jenis dan warna yang bakal mencuit hati.
  • Kesempurnaan setiap ciri dan bahagian yang tidak akan dapat ditemui pada bunga-bunga artifisial.
  • Kelembutan bunga asli tidak dapat ditandingi bunga artifisial yang umumnya diperbuat daripada bahan plastik yang keras apabila disentuh.
  • Resepsi pernikahan yang menggunakan bunga asli akan lebih eksklusif dan mewah walaupun perlu memperuntukkan bajet yang lebih tinggi.
  • Bunga segar akan tampak lebih hidup dan indah dalam setiap foto yang terakam.
  • Bunga segar boleh juga diawetkan (melalui pelbagai proses) dan akan bertahan lama.
 
Bunga artifisial
  • Bunga artifisial tidak akan pernah layu atau mengalami perubahan warna. Ia sentiasa kelihatan segar.
  • Tidak perlu menunggu musim tertentu untuk mendapatkan/menyediakannya.
  • Ringan dan sangat mudah dibawa. Lebih murah daripada bunga asli.
  • Tidak menyebabkan alahan andai ada tetamu jemputan yang mempunyai alahan kepada bunga segar.
  • Tidak akan layu atau tertanggal akibat pengaruh cuaca atau sentuhan.
  • Pengawetan yang tinggi menyebabkan bunga tiruan dapat dipesan lebih awal sebelum majlis pertunangan atau pernikahan.