Tarikh 28 Disember 2012, mengikat dua jiwa; penjaga gol skuad bola
sepak negara dan pasukan negeri Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, 23 dan
gadis pilihannya, Nur Eilunie Natasha Jaafar, 21 atau lebih mesra
dipanggil Leuniey. Sekitar detik 10.25 pagi, hanya dengan sekali lafaz
sahaja, pasangan ini selamat diijabkabulkan oleh Imam Masjid Pasir
Pekan, Abdul Ghani Abdul Mutalib di kediaman keluarga Leuniey di Pasir
Pekan, Tumpat. Tampil indah dengan rona kuning cair busana Ezuwan
Ismail, Leuniey manis di pelaminan. Begitu juga Khairul Fahmi yang
awalnya gementar namun tidak lepas mengungkapkan kesyukuran kerana
mereka kini sah bergelar suami isteri. Kegembiraan turut dirasai oleh
seluruh ahli keluarga kedua-dua belah pihak terutamanya ibu bapa Khairul
Fahmi iaitu Che Mat Hussein, 58 dan Bidah Ibrahim, 57, serta ibu bapa
Leuniey, Nazri Adnan, 44 dan Noor Laila Abu Bakar, 45 tahun. Turut hadir
ialah Timbalan Mufti Negeri Kelantan, Dato’ Nik Abdul Kadir Nik
Muhammad. Dalam majlis tersebut, Leuniey menerima wang hantaran bernilai
RM19,000, simbolik kepada angka 19 yang juga merupakan nombor jersi
Khairul Fahmi berserta tujuh dulang yang mengandungi minyak wangi, alat
solek, beg tangan, kasut, persalinan, sirih junjung dan cincin. Pihak
pengantin perempuan membalasnya dengan tujuh dulang hantaran yang
terdiri daripada persalinan, jam tangan, kasut, minyak wangi, set dompet
dan tali pinggang, sirih junjung dan juga cincin. Diraikan seterusnya
dalam majlis resepsi yang berlangsung di Hotel Renaissance Kota Bharu,
pasangan ini begitu serasi dalam persalinan songket sentuhan Ezuwan
Ismail. Bertemakan perkahwinan moden klasik, mempelai dan tetamu
dihiburkan dengan kesenian Kelantan, tarian Asyik.
HANYA KENAL 10 BULAN
Sememangnya sepanjang tahun 2012, hubungan di antara Khairul Fahmi atau
Apexs dengan Leuniey sering diperkatakan. Bermula dengan kontroversi
mereka sebenarnya tidak mengenali sehinggalah dipertemukan untuk
menjayakan penggambaran sebuah iklan wangian. Sejak detik itu, hubungan
mulai mesra dan dalam tempoh yang singkat, mereka melafaz janji sehidup
semati. Mengimbas detik perkenalan pasangan selebriti ini, menurut
Leuniey, perhubungan yang berlangsung hampir 10 bulan ini memadai untuk
mereka saling mengenali isi hati, seterusnya melanjutkan ke fasa yang
lebih serius. “Saya cuma mengenalinya pada Mac sewaktu penggambaran
SimplySiti. Sebelum itu, saya tidak mengenali Fahmi, malah saya sendiri
tidak mengikuti perkembangan bola sepak negara. Hanya selepas timbulnya
gosip, saya mahu mengetahui mengenai latar belakang Fahmi. “Ketika itu
saya berasa terkilan kerana dikaitkan dengannya tetapi saya bernasib
baik kerana ibu bapa memberi sokongan dan nasihat agar saya telah berasa
kecewa dengan kontroversi tersebut. “Sehinggalah kami dipertemukan
untuk sesi penggambaran tersebut. Saya hadir uji bakat tanpa mengetahui
bahawa dia turut terlibat. Bermula detik itu, kami berkawan dan
berhubungan. “Tanpa disangka, gosip yang memperkatakan hubungan kami
walhal ketika itu kami tidak saling mengenali seolah-olah menjadi satu
kenyataan apabila kami benar-benar bersatu sekarang,” tutur anak sulung
daripada enam beradik ini. Ujarnya, daripada perkenalan biasa mereka
tidak menyedari timbulnya bibit-bibit cinta kerana segalanya berlaku
secara spontan. Hubungan mereka kemudian dirujuk kepada keluarga dan
seterusnya mereka sepakat untuk mendirikan rumah tangga tanpa mengambil
masa yang panjang, apatah lagi melalui tempoh pertunangan setelah
lamaran daripada pihak lelaki diterimanya. “Saya melihat Fahmi sebagai
seorang lelaki yang matang berbanding usianya. Dia juga kelakar,
penyayang dan romantik, selain matanya yang sepet itu memikat pandangan
saya. Bukan itu sahaja dia seorang yang penuh dengan kejutan. Tidak
dengan memberi hadiah saja malah kehadirannya sering tidak dijangka
menjadikan kejutannya memang menjadi. “Hubungan kami begitu pantas. Kami
semakin rapat apabila saling mengenali sikap, begitu juga keluarga.
Ketika mahu meneruskan hubungan ini, saya mendapatkan pandangan daripada
keluarga terlebih dahulu dan syukurlah kedua-dua belah pihak merestui
hubungan kami,” ceritanya yang memberikan sokongan yang
tidak berbelah bahagi kepada suaminya ini.
LEUNIEY CANTIK DAN MANJA
Bagi ahli pasukan Red Warriors ini pula, tiada yang lebih indah selain
mengenali isterinya. Leuniey menjadi pilihan hatinya kerana wanita itu
begitu memahami kariernya. “Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan
lancar. Walaupun masih ada sedikit rasa gemuruh tetapi ia telah
dipermudahkan-Nya. Saya bersyukur ke hadrat Ilahi di atas jodoh yang
diperkenankan. “Saya juga bersyukur dipertemukan dengannya. Dia seorang
yang begitu memahami kesibukan karier saya. Bagi saya ini penting kerana
jika dia tidak dapat memahami, mungkin sukar untuk kami bersama. “Saya
akui sepanjang perhubungan kami sebelum ini, kami jarang berjumpa. Hanya
jika berkelapangan, itu pun bukan keluar berdua sebaliknya lebih kepada
perjumpaan bersama keluarga. Jadi saya begitu berharap dia akan kekal
memahami situasi saya selepas ini,” kata Khairul Fahmi. Tidak sahaja itu
yang memikat hati Khairul Fahmi terhadap cinta hatinya. Dia juga
tertawan dengan budi bahasa, kecantikan, kemanjaan dan kepandaian
Leuniey di dapur. Lantas rombongan dihantar ke rumah pihak perempuan
pada Oktober 2012. “Leuniey sudah cukup sempurna di mata saya. Cantik
orangnya. Jika orang lain selalu memujinya, saya apatah lagi. Saya
bersyukur kerana mendapat isteri yang manja. Malah dia pandai mengambil
hati saya dengan kehebatannya memasak hidangan istimewa kegemaran saya
terutamanya pemanis mulut seperti pavlova, puding roti dan juga tomyam.
“Walaupun baru berusia 21 tahun, Leuniey matang dan boleh berdikari.
Pernah saya bertanya kepadanya sama ada dia berminat untuk menyambung
pelajaran seperti rakan-rakan seusianya tetapi dia cenderung kepada
menguruskan perniagaannya. Ini membuatkan saya berasa kagum dengan
kebolehannya itu,” ungkap Khairul Fahmi yang mengakui perhubungan
singkat bukanlah penghalang untuk mereka meraih kebahagiaan.“Ada
pasangan yang langsung tidak mengenali pasangan sebelum berkahwin tetapi
kekal hingga ke akhir hayat. Jalan cerita saya juga sama. Saya mahu
mengecap kemanisan bercinta itu selepas berkahwin. Tentu lebih indah.
“Bagaimanapun, saya amat bersyukur. Ini adalah jodoh yang diberikan oleh
Allah S.W.T. Apabila saya telah tetapkan untuk menamatkan zaman bujang,
bermakna saya telah bersedia dari pelbagai segi terutamanya mental.
“Perkahwinan merupakan perkara serius, seiring dengan tanggungjawab yang
dipikul. Jika dahulu saya hanya memberi keutamaan kepada diri dan
keluarga, kini saya sudah mempunyai Leuniey. Saya hanya dapatkan rasakan
kegembiraan, selain berusaha untuk membahagiakan Leuniey,” tutur
Khairul Fahmi tanpa berselindung lagi.
TIADA KESEMPATAN BERBULAN MADU
Tentunya juga menikmati bulan madu menjadi acara wajib buat pasangan
pengantin baru. Berduaan di lokasi yang penuh romantis dalam mood kasih
sayang menjadikan perkahwinan yang baru dibina lebih bererti. Namun
berbeza kepada pasangan anak jati Kelantan ini. Tatkala diajukan
pertanyaan mengenai bulan madu, ternyata mereka masih tidak punya
perancangan untuk meraikan momen indah tersebut. “Mengenai berbulan
madu, saya dan Leuniey masih belum memikirkannya. Tidak ada rancangan
mengenai lokasi mahupun tarikh untuk tujuan tersebut. Ini kerana jadual
saya penuh untuk menjalani latihan,” kata Khairul Fahmi di dalam sidang
media usai majlis resepsi diadakan. Dalam pada itu tidak ketinggalan
ditanya perancangan untuk memiliki cahaya mata. Dalam berseloroh,
Khairul Fahmi tidak merancang untuk memperoleh anak seramai ahli pasukan
bola sepak. Ternyata kenyataannya itu mengundang tawa isterinya itu.
“Semuanya rezeki Allah S.W.T. Kami tidak merancang dan tidak menolak
rezeki yang Allah S.W.T beri sama ada cepat atau lambat. Bagaimanapun
memadai dengan kehadiran empat cahaya mata untuk memeriahkan kehidupan
kami sekeluarga,” tuturnya yang turut merancang untuk membuka perniagaan
bersama isterinya.
No comments:
Post a Comment