Ketahui Tanda-tandanya...
Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Yang Maha Esa. Tetapi bagaimana kita hendak mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Tuhan mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi, spiritual dan fizikal antara keduanya.
Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?
Bersahaja
Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Jika dia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
Senang Bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita.
Membawa Untuk Mengenali Keluarganya
dengan lebih rapat Sekiranya anda dibawa berjumpa keluarganya, ini bermakna pasangan anda begitu serius dengan perhubungan yang dijalin. Ikatan bersama semestinya ingin diakhiri dengan ikatan pernikahan yang sah.
Berkongsi Kisah Suka Dan Duka Bersama
Ikatan yang ikhlas dan serius akan bermula dengan adegan berkongsi cerita dan saling memahami. Apabila saat untuk si dia melamar semakin mendekat, sudah pasti dia mengingini anda mengenali sepenuh dirinya dan keluarganya. Tiada sedikitpun sejarah silam yang akan diselindung kerana perasaan cinta yang suci itu.
Menerima Kelebihan Dan Keburukan Dirimu
Si dia tidak akan mempertikaikan kelemahan diri anda. Setiap kelemahan pastinya akan ditegur dengan cara yang baik dan tidak menyinggung perasaan. Ini menampakkan kesediaannya untuk menjadikan anda permaisuri hati tidak lama lagi.
Kata Hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Tuhan deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu.