Aktor kacak, Jehan Miskin kini secara sahnya bergelar suami
kepada seorang gadis Korea, Julie Camelia Rhe. Pasangan ini telah
selamat diijabkabul dalam satu majlis indah di Carcosa Seri Negara,
Kuala Lumpur sebentar tadi.
Pelakon yang mula dikenali menerusi lakonan hebatnya dalam filem
'Qaisy dan Laila' dan pasangannya dinikahkan oleh Pendaftar Perkahwinan,
Penceraian dan Rujuk Orang Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd
Sahirman Ahmad, tepat jam 2.40 petang tadi dengan mahar berjumlah
RM12,000.
Pengantin lelaki kelihatan segak berbaju melayu serba putih manakala
pengantin perempuan kelihatan indah mempersona dengan persalinan rona
perang keemasan. Majlis dimulakan dengan khutbah nikah daripada Mohd
Sahirman Ahmad.
Keluarga mentua Jehan diterbangkan terus dari Korea kerana mereka
masih menetap di sana manakala ibu dan kakak Jehan yang menetap di
Amerika Syarikat juga turut meraikan perkahwinan kedua-dua mempelai ini.
Majlis mereka turut diserikan dengan kehadiran rakan-rakan artis, Nurul
Wahab, Tony Eusoff, Cheryl Samad dan Azura Zainal.
Majlis akad nikah ini hanya dihadiri oleh
kira-kira 100 orang tetamu. Acara diteruskan dengan majlis resepsi dan
acara minum petang (Hi-Tea) bagi meraikan kedua-dua pengantin. Jehan
mengenakan busana mempesona tajaan Bon Zainal, manakala isterinya
kelihatan begitu menawan dengan busana indah yang ditaja oleh Zaterra
dan Celest Thoi.
Sekalung tahniah GUA ucapkan kepada pasangan mempelai. Semoga ikatan
perkahwinan yang mereka bina kekal sehingga ke anak cucu seterusnya
hingga ke akhir hayat.
[GAMBAR] Sekitar Majlis Pernikahan Jehan Miskin & Julie Rhee