KUALA LUMPUR, 25 OKT 2011: Bukan mahu menyembunyikan
status perhubungannya bersama pelakon Tiz Zaqyah selama ini sebaliknya
jelas aktor hitam manis, Remy Ishak, tindakan tersebut diambil sebagai
langkah berhati-hati kerana tidak tahu apa yang akan berlaku di masa
hadapan.
Namun tegas Remy Ishak, dia dan Tiz Zaqyah sememangnya sedang
berpacaran dan mengharapkan pengakhiran yang baik dalam perhubungan
mereka.
"Memang saya dan dia sedang berpacaran. Cuma saya lebih selesa
memberitahu kepada umum bahawa kami sedang mengenali hati budi
masing-masing dan berkawan rapat. Kerana kami tak tahu apa yang akan
berlaku pada masa depan. Kalau tak jadi nanti kita juga yang malu.
"Lagipun apabila kami mengambil keputusan dengan memberitahu bahawa
kami bercinta, takut pula nanti orang meletakan harapan yang terlalu
tinggi dan kalau tak jadi nanti lain pula ceritanya," katanya membuka
bicara mengenai kisah cintanya itu.
Ditanya mengapa baru kini dia mempunyai kekuatan untuk mengakui cinta
tersebut, jelas Remy Ishak dia tidak mahu dilabel sebagai pembohong
mahupun cuba menyembunyikan perkara yang sebenar.
"Saya tak mahu orang salah faham dan sebab itu jugalah saya mengaku dan
memberitahu. Sebelum ini, saya pernah memberitahu kepada semua yang
kami memang saling mengenali. Saya tak mahu mendengar apa-apa lagi yang
mengatakan kami berbohong atau menutup kebenaran kisah berkenaan,"
jelasnya yang turut mengakui dia merupakan seorang yang romantis.
Mengakui pengalaman bebeerapa orang teman artis yang sering kandas
dalam perhubungan, perkara itu sedikit sebanyak telah mengajar Remy
Ishak untuk lebih tertutup untuk menceritakan kisah peribadinya.
"Kalau boleh, saya tak mahu sangat kisah cinta diberi tumpuan kerana
macam-macam boleh berlaku. Saya jenis orang yang pentingkan perhubungan
dan tak suka bercinta putus dan sebagainya. Kerana itu menunjukan
seseorang itu tidak mempunyai pendirian.
"Memanglah pada usia 29 tahun ini kita dah berfikir mengenai
perkahwinan. Calon sudah ada dalam tangan, cuma nak tengok
perkembangannya lagi dan apabila sudah sedia semuanya akan berlangsung,"
tuturnya.
Tambah hero filem 29 Februari itu lagi, dia mengakui terlalu memilih
dalam soal calon isteri memandangkan pengalaman perceraian kedua
ibubapanya telah membuatkannya lebih serius terhadap dunia perkahwinan.
"Saya terlalu memilih kerana pengalaman ibubapa saya yang bercerai.
Saya tak mahu kahwin dan cerai, kerana bagi saya biarlah hanya berlaku
sekali sahaja dalam hidup. Saya juga tak mahu anak-anak terbiar
disebabkan perceraian tersebut," jelasnya bersungguh-sungguh.
No comments:
Post a Comment