Search This Blog

Monday, March 11, 2013

Panduan Berdamai Suami Isteri

Panduan Berdamai Suami Isteri




Panduan Berdamai Suami Isteri
Sedangkan Lidah Lagi Tergigit Apa Pula Suami Isteri Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih Baru Teguh Peribadi Apa Guna Kita Bertengkar Suami Isteri Harus Bersabar Kasih Sayang Rukun Dan Damai Hidup Seperti Dalam Mahligai Maaf Hamba Wahai Dinda ……
Bait-bait lagu dendangan P. Ramlee dan Saloma ini cukup menarik untuk dihayati. Begitulah diibaratkan dengan hubungan suami isteri, walau seteguh mana cinta dan kasih antara pasangan, pasti sesekali berlaku konflik yang tidak diingini.
Kadang-kadang ia berpunca daripada suami, dan kadang-kadang ia berpunca daripada isteri. Namun dalam banyak keadaan ia adalah akibat kelemahan dan kesilapan kedua-dua pihak. Mencari siapa bersalah bukan soal yang pokok. Apa yang penting ialah bagaimana kita berdepan dengan masalah dan kembali berdamai.
Namun mengungkapkan kata damai cukup mudah dilontarkan, tetapi sebenarnya memerlukan pengertian kemaafan yang mendalam. Ada sesetengahnya sukar mendidik diri menjadi pemaaf, pun begitu ada panduan yang perlu dipraktiskan dalam membina kerukunan berumah tangga.
1. Jangan Merajuk
Merajuk tidak berguna sama sekali untuk tujuan menyelesaikan masalah. Malah ia boleh memburukkan perhubungan. Walaupun dengan cara merajuk isteri boleh mendorong suami mengalah, namun strategi merajuk tidak membawa kedamaian yang kekal. Semakin kuat dan semakin lama rajuk seseorang isteri, semakin susah proses berdamai dapat dilakukan.
2. Jangan Menghukum
Pergaduhan, pertengkaran dan koflik antara suami isteri meninggalkan kesan buruk kepada hati dan perasaan. Dalam keadaan begitu, masing-masing cenderung mahu menghukum satu sama lain kerana hendak memuaskan hati yang sakit. Walau apa bentuk hukuman sekalipun, sama ada ia kecil ataupun besar, hukuman hanya menyukarkan proses berbaik.
3. Jangan Berdusta Jika Di Dalam Hati Anda Atau Pasangan Ingin Berdamai, Jangan Dustainya.
Tidak perlulah pura-pura tarik harga atau jual mahal. Perbuatan seperti itu ada risikonya. Bimbang nanti dia menyangka anda betul-betul tidak sudi memaafkannya dan akibatnya dia terdorong bersedia untuk melupakan usaha berdamai.
4. Jangan Mencari Salah
Kalau mahu berdamai, hentikan tabiat suka mencari salah dan kelemahan pasangan. Ia juga termasuk perbuatan berleter, menegur dan mengkritik. Mencari salah tidak mungkin membawa penyelesaian, alangkah baiknya jika mencari kebaikan yang ada di dalam diri pasangan untuk dihargai.
5. Bercakaplah tentang hari ini dan esok
Setelah berdamai, jangan bercakap melainkan tentang hari ini dan hari esok. Jangan pandang ke belakang, melainkan untuk tidak mengulang lagi kesilapan kita sendiri pada masa lalu. Jangan sekali-kali mengungkit perkara-perkara yang menyebabkan konflik itu terjadi.
6. Senyum Semula
Di dalam sebuah kajian, antara perkara yang banyak disebut oleh lelaki terhadap bekas-bekas isteri mereka ialah bahawa isteri mereka tidak senyum lagi. Jadi senyumlah, kerana senyuman ialah cara yang terbaik untuk memulakan perhubungan yang telah tegang menjadi mesra.
7. Mulakan Berdamai
Biasa terjadi, konflik yang berlaku itu berlarutan beberapa lama kerana masing-masing tidak mahu memulakan proses berdamai. Walaupun masing-masing mungkin mahu berdamai, tetapi masing-masing ada keegoan sendiri. Oleh itu, tidak salah kiranya jika anda yang memulakan berdamai demi kebaikan bersama.
8. Kenal Pasti Punca Masalah
Masalah ialah punca konflik yang utama. Selagi punca masalah itu tidak dikenal pasti dengan tepat dan diatasi, selagi itu konflik yang sama akan berulang-ulang kali tercetus lagi. Tujuannya bukanlah untuk mengungkit-un

Apabila Jodoh Semakin Dekat

Apabila Jodoh Semakin Dekat
Apabila Jodoh Semakin Dekat
Ketahui Tanda-tandanya...
Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Yang Maha Esa. Tetapi bagaimana kita hendak mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Tuhan mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi, spiritual dan fizikal antara keduanya.
Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?
Bersahaja
Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Jika dia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
Senang Bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita.
Membawa Untuk Mengenali Keluarganya
dengan lebih rapat Sekiranya anda dibawa berjumpa keluarganya, ini bermakna pasangan anda begitu serius dengan perhubungan yang dijalin. Ikatan bersama semestinya ingin diakhiri dengan ikatan pernikahan yang sah.
Berkongsi Kisah Suka Dan Duka Bersama
Ikatan yang ikhlas dan serius akan bermula dengan adegan berkongsi cerita dan saling memahami. Apabila saat untuk si dia melamar semakin mendekat, sudah pasti dia mengingini anda mengenali sepenuh dirinya dan keluarganya. Tiada sedikitpun sejarah silam yang akan diselindung kerana perasaan cinta yang suci itu.
Menerima Kelebihan Dan Keburukan Dirimu
Si dia tidak akan mempertikaikan kelemahan diri anda. Setiap kelemahan pastinya akan ditegur dengan cara yang baik dan tidak menyinggung perasaan. Ini menampakkan kesediaannya untuk menjadikan anda permaisuri hati tidak lama lagi.
Kata Hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Tuhan deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu.

Kad Kahwin Tanda Jemputan Serlah Personaliti Dengan Gaya

Kad Kahwin Tanda Jemputan Serlah Personaliti Dengan Gaya
kad1
Ah..kad kahwin! Apa perasaan anda setiap kali menerima kad kahwin? Selalunya ada sesuatu yang istimewa setiap kali menerima kad kahwin kan...dalam hati pasti berkata “cantik kad dia” dan anda mula membayangkan majlis perkahwinannya juga pasti akan secantik dan seindah kad kahwin yang dihantar.
Kalau dulu kad kahwin dihantar hanya sebagai makluman bahawa bakal pengantin akan melangsungkan perkahwinan dan anda dijemput untuk memeriahkan majlis (dalam erti kata lain, jemputlah makan kenduri).
Sekarang ini, kad kahwin juga berevolusi. Ia punya tekstur, berat tertentu, bentuk huruf (font) yang cantik dan bermacam, kilauan tintanya dan pelbagai lagi. Ia lebih bersifat peribadi sebagai perlambangan diri bakal pengantin. Ada juga kad kahwin yang menjelaskan tema majlis perkahwinan yang bakal diadakan dan yang pasti antara tema yang menjadi pilihan ialah gaya VINTA J.
Dalam memilih tema vintaj, ada beberapa perkara yang boleh anda ambil kira untuk memastikan kad kahwin yang ditempah sepertimana yang diidamkan.
1. Warna - Pilihan warna menentukan mood kad dan keseluruhan tema majlis. Pilihan warna sering bergantung kepada era atau zaman mana yang anda pilih. Variasi warna bermula daripada warna yang kuat (vibrant) hingga ke warna yang lembut dan lusuh (mute).
2. Koordinasi - Anda perlu bijak dalam menggabungkan jenis kertas yang dipilih dengan dekorasi kad serta bentuk huruf. Gabungan yang harmoni mampu menyerlahkan penampilan kad mengikut zaman yang dipilih.
3. Sentuhan Peribadi & Buat Sendiri - Sekiranya anda mahu menambah sentuhan peribadi, anda boleh menambah monogram, logo dan menambah dekorasi kad dengan renda dan reben. Anda boleh mencetak kad dan gunakan kreativiti untuk menambah sentuhan peribadi.

Idea: Hantaran Mewah Dan Elegan

Idea: Hantaran Mewah Dan Elegan
Terserlah kemewahan dalam gubahan berkonsep kotemporari dan elegan ini diserikan lagi dengan bunga-bungaan yang begitu indah. Sememangnya ros, orkid dan ‘carnation’ menjadi pilihan dalam setiap gubahan. Tampak lebih mewah lagi dengan penggunaan dulang jenis kotak besi berwarna perak yang berkaki. Ikhlas buat isteri tercinta.
Teks : Siti Nurliyana Ab Halim  Foto: Baidiuzaman Ab Malik Terima Kasih Pasangan Pengantin : Adilah & Mohd Hasril Gubahan : Dewi Noorshareena, Dwi Touch

Tip Cantik & Fotogenik

Tip Cantik & Fotogenik
Memetik kata-kata Bobbi w Brown, kunci untuk tampil cantik di dalam gambar adalah dengan penggunaan mekap yang tepat. Tidak sukar disebut sebagai pengantin yang fotogenik, asalkan anda memahami teknik pencahayaan asas fotografi. Berikut antara tip solekan profesional agar hari bahagia anda dipotretkan secantik-cantiknya untuk kenangan.
Kenal Pasti Bila Dan Di Mana
Pencahayaan ‘outdoor’ akan membuatkan ketidaksempurnaan mekap lebih ketara. Kerapian di sini amat penting terutamanya di bahagian bawah mata dan noda-noda di wajah. Pastikan anda mengoles ‘concealer’ dan sapukan bedak alas yang berdasar kekuningan untuk kelihatan natural. Hindari bedak asas dengan bahan titanium dioksida kerana ia akan menyebabkan wajah terlihat kelabu.
Elakkan ‘Moist Look’
Wajah dengan solekan yang kebasah-basahan memang manis untuk ditatap secara langsung, tetapi akan kelihatan berminyak di dalam gambar. Elakkan penggunaan pelembap wajah yang banyak dan sapukan losen kawalan minyak di bahagia zon-T sebelum mengaplikasi bedak asas.
Bedak Berdasar Kuning
Jika mengambil gambar potret dengan pasangan, gunakan bedak dengan dasar warna kuning. Selain itu, bedak ‘translucent’ juga boleh membuat wajah kelihatan seperti topeng, jadi hindarilah bedak jenis ini. Pastikan juga sapuan bedak di bahagian bawah wajah dan leher anda senada, lebihlebih lagi jika anda mengenakan pakaian dengan belahan dada yang rendah.
Gincu Terang
Gunakan ‘blusher’ warna merah jambu jika anda memiliki kulit cerah dan merah mawar jika yang berkulit gelap. Pilihlah warna gincu yang berwarna cerah dan terang, lebih-lebih lagi jika mengenakan baju pengantin warna putih, kerana warna-warna ‘nude’ atau coklat akan membuatkan anda kelihatan pucat.
Akhir sekali jangan lupa untuk bertenang semasa bergambar. Ketegangan akan terpancar di wajah. Sebelum lensa kamera dipetik, pejamkan mata, tenangkan diri dan fokus 1..2..3.., senyum!

Goda Si Dia Dengan Ayat 'Power' Anda

Goda Si Dia Dengan Ayat 'Power' Anda
Goda Si Dia Dengan Ayat 'Power' Anda
“ Kehadiranmu menyinari hidupku, kehangatan cintamu mengubati sepiku, kelembutanmu mengubati lukaku, kemanjaanmu adalah penawar resahku.”
Oh, indahnya alam percintaan! Bagaikan melayang di udara tatkala mendengar si dia mengucapkan kata-kata itu. Bercinta selepas berkahwin sememangnya lebih indah daripada alam percintaan. Bermulanya alam perkahwinan tidak semestinya alam percintaan harus ditinggalkan begitu sahaja. Namun, teruskanlah bercinta selepas mendirikan rumah tangga sekalipun usia perkahwinan mencecah puluhan tahun.
Ucapkanlah ayat-ayat cinta agar cinta yang bersemi akan terus mekar seiring usia perkahwinan anda. Ikhlas dari hati yang suci, goda si dia dengan ayat ‘power’ anda agar panahan cinta sentiasa subur di taman hati.
Situasi 1:
Boleh diucapkan bila-bila masa sahaja. Sama ada di dapur, di ruang tamu, ataupun di dalam bilik. Sebelum itu, panggil pasangan anda dengan lembut dan pegang tangan pasangan anda dengan erat. Kemudian, pandang ke dalam matanya. Bawa tangan anda ke dadanya sambil ucapkan ayat ini. Pastikan anda meluahkannya dengan satu nafas supaya keberkesanannya terhasil 100%.
“Saya tidak tahu siapa di dalam hati awak tapi yang pasti, dalam hati saya ada awak seorang.”
Situasi 2:
Waktu sebelum tidur perlu digunakan dengan sebaik yang mungkin. Apabila anda dan pasangan hendak tidur, lakukanlah seperti ini. Usapkan tangan anda ke wajah pasangan sambil belai lembut rambutnya. Jentik manja pada hidungnya dan ucapkanlah ayat ini.
“ Tuhan memberikan rasa cinta ke dalam diriku dan aku memberikannya padamu. Tolong jangan berikannya pada orang lain. Andai mencintaimu satu kesalahan, biarlah aku yang bersalah. Cintaku padamu sangat kuat dan akan ku perjuangkannya demimu.”
Tatkala pasangan anda mengucapkannya, berilah ciuman sebagai tanda penghargaan agar dirinya terasa dihargai. Belaian yang diberi juga pasti menghangatkan malam anda seindah malam pertama. Langkah seterusnya, terserah pada anda!
Situasi 3:
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Ketika menghadapi konflik atau dilanda masalah, jangan cepat melenting. Biarkan keadaan menjadi ‘sejuk ‘ dahulu. Kemudian, mulakan langkah anda. Ketika si dia sedang leka, pegang erat tangan lembut si dia dan kemudian tarik ke dada anda. Dongakkan muka si dia agar rapat ke muka anda dan ucapkanlah ayat ini.
“Jangan pergi dari saya. Sampai akhir masa saya akan berusaha memenangi hati awak, dan sehingga akhir hayat saya. Ketika itu, jika awak ingin pergi dari saya, pergilah.”
Pasti hati yang keras menjadi lembut ketika mendengar kata-kata ini. Peluklah dengan erat agar si dia tahu bahawa cinta anda padannya sememangnya tidak bertepi. Mungkin selepas itu, si dia bahagia kerana mendapat ‘layanan istimewa’ daripada anda.

Membina Rumahtangga Bahagia

Membina Rumahtangga Bahagia
Membina Rumahtangga Bahagia
Melayari bahtera rumahtangga biarlah sehingga ke hujung nyawa. Pastinya kebahagiaan yang ingin dikecapi bersama pasangan dan biarlah ianya mendapat keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T.
Bagi anda yang bercita-cita untuk membina rumahtangga bahagia, renungkanlah tip berikut :
1. Anda perlu meletakkan tujuan perkahwinan untuk mencari keredhaan Allah. Naluri untuk berteman dan keinginan mendapatkan zuriat adalah kehendak semulajadi yang telah diletakkan oleh Allah dalam diri setiap manusia yang normal.
Surah Al-Furqan ayat 74 :
“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikan kami imam bagi orang yang bertaqwa.”

2. Anda perlu menyedari bahawa perkahwinan anda dengan orang yang dikasihi itu adalah suatu ketetapan dari Allah. Tanpa restu dan izin yang Maha Berkuasa perkahwinan anda tidak mungkin akan terjadi walau bagaimana besar usaha dan penat lelah yang telah anda lakukan ke arahnya. Anda juga perlu menerima hakikat bahawa usia perkahwinan anda terletak di tangan Nya, dan Allah berhak mengambilnya pada bila-bila masa yang dikehendaki Nya.
3. Perkahwinan merangkumi hak-hak dan tanggungjawab tertentu yang perlu ditunaikan baik oleh suami atau pun isteri. Di antara tanggungjawab suami ialah melunaskan mas kahwin, memberi nafkah zahir dan batin, mendidik isteri dan anak- anak serta berlaku baik terhadap mereka. Manakala tanggungjawab isteri pula ialah mentaati suami dalam perkara yang tidak berlawanan dengan syarak, memelihara diri daripada perkara yang mungkar, menjaga harta suami dan menguruskan rumahtangga.
4. Anda haruslah ingat bahawa pasangan anda adalah manusia biasa yang tidak terkecuali daripada kelemahan dan kesilapan. Anda juga demikian. Oleh itu sekiranya pasangan anda melakukan kesilapan, janganlah terlalu diperhitungkan. Sentiasalah mengamalkan sikap bertolak ansur dan saling maaf memaafi antara suami dan isteri.
5. Dalam surah Al-Baqarah ayat 187, Allah menggambarkan hubungan suami isteri sebagai pakaian bagi satu sama lain. Sebagai pakaian anda diperlukan setiap masa oleh pasangan anda untuk menutupi keaibannya dan melindunginya daripada perkaraperkara yang tidak menyenangkan. Oleh itu, anda perlulah menjadikan diri anda sebagai pakaian yang terbaik untuknya dan menjauhkan diri daripada menjadi pakaian yang buruk, lusuh dan tidak berguna.
6. Sebagai seorang Islam, telah wujud ikatan persaudaraan Islamiah antara anda dan pasangan sebelum perkahwinan. Ijabkabul bukan sahaja menjadikan anda suami atau isteri malah mengerat dan mengemaskan lagi ikatan persaudaraan ini. Oleh itu, kasih sayang tidak hanya berfungsi untuk mengikat suami dan isteri tetapi juga sebagai saudara seiman dan seagama.
7. Anda perlulah beradab di pertemuan pertama dengan pasangan anda. Suami hendaklah memberi salam kepada isteri apabila memasuki bilik pengantin dan meletakkan tangannya di atas ubunubun isteri sambil berdoa dengan maksud:
“Wahai Tuhanku aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau fitrahkan dia atasnya. Dan aku berlindung dengan Mu dari kejahatannya dan kejahatan apa yang Engkau fitrahkan dia atasnya.”
Selepas itu, pasangan hendaklah bersembahyang sunat dan berdoa kepada Allah agar diberi Nya kebaikan dan dijauhi Nya kejahatan. Dan jika hendak bersama dengan pasangan bacalah doa dengan maksud:
“Wahai Tuhanku, jauhkan kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada anak-anak yang engkau anugerahkan kepada kami."
8. Pertelingkahan antara suami isteri adalah sesuatu yang biasa terjadi sebagaimana lazim disebutkan ‘sedangkan lidah lagi tergigit’. Maka apabila berlaku pergeseran janganlah diperbesarkan. Kalau suami marah seeloknya isteri diam dan kalau isteri marah, giliran suami pula diam. Adalah tidak perlu pasangan yang dimarahi cuba membela diri kerana lazimnya ia tidak membuahkan hasil yang baik. Walaubagaimanapun sesiapa yang marah ini perlulah ingat dan bertanya kenapa aku marah. Adakah pasangan aku telah melakukan mungkar yang bertentangan dengan syariat Allah. Jika tidak, nasihat yang baik adalah lebih berkesan. Hidup saling memaafkan dan saling mengerti antara satu sama lain akan menambah serikan rumahtangga.
9. Janganlah takut menghadapi dugaan dan ujian kerana rumahtangga yang diuji akan membuatkannya lebih kukuh dan matang jika pasangan bijak mengendalikannya. Sentiasalah berdoa kepada Allah agar mempermudahkan usaha kita dalam melayari kehidupan berumahtangga.