Search This Blog

Showing posts with label pejuang kita. Show all posts
Showing posts with label pejuang kita. Show all posts

Sunday, March 3, 2013

Tebusan Pemberontak Sulu Dipenggal Kepala

Terkini, seorang unit keamanan Malaysia dipenggal kepala oleh penganas Sulu. Menurut sumber yang berada di Bandar Semporna,Seorang pegawai dan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terkorban dalam serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, Sabah, Sabtu.
Insiden di lokasi tersebut telah mengorbankan 5 anggota polis berlaku dengan amat kejam, mereka telah bergegas ke lokasi kerana mendapat laporan kononnya terhadap sekumpulan lelaki bersenjata api,Tiba ditempat kejadian, Anggota polis itu ditembak semasa menuju ke sebuah premis di kampung berkenaan dan mereka membalas tembakan untuk mempertahankan diri,seorang ditembak tepat dikepala manakala 3 orang lagi ditembak dengan menggunakan mesingan. Seorang lagi pada ketika itu dijadikan tembusan dan berakhir dengan kepalanya dipenggal.
Kejadian di perkampungan atas air pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan dua anggota kumpulan bersenjata terbabit terbunuh.
Kelima-lima anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna itu ditugas untuk menjalankan siasatan di kampung berkenaan berikutan polis mendapat maklumat mengenai sekumpulan lelaki bersenjata di kampung itu.

Seluruh Sabah Kini Berisiko Tinggi Diceroboh

Seluruh Sabah Kini Berisiko Tinggi Diceroboh

3 March 2013 by news in Berita with 0 Comments
penceroboh
Dengan pengesahan yang dibuat oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib pagi tadi, bermakna setakat ini sudah 7 anggota keselamatan kita terkorban ketika menjalankan tugas mempertahankan kedaulatan negara.
Kalau diambil kira sebelah penceroboh yang dikatakan sudah 14 (termasuk dua di Semporna yang mati), maka sudah ada 21 kematian di Sabah setakat ini.
Sebuah negara yang aman damai secara tiba-tiba menghadapi masalah seperti ini…memeranjatkan. Konflik di Sabah kini bukan lagi isu kecil.
.
Yang kita faham konflik yang wujud di Sabah angkara secara langsung salah seorang daripada 9 individu yang mengaku diri mereka sebagai Sultan Sulu, adalah masih jauh daripada berakhir.
Masih ada 100 lebih pengikut Jamalul Kiram III berkampung di Lahad Datu, Sabah.
Dan jika insiden di Semporna lewat petang semalam diambil kira, ada kemungkinan isu pencerobohan itu bukan lagi terhad di daerah itu semata-mata.
Terkini, Ketua Polis Negara juga mendedahkan pihaknya sedang mengesan 10 penceroboh, dengan 3 daripada mereka memiliki senjata di dua tempat di Kunak pula.
Kunak terletak di antara Lahad Datu dan Semporna, jelas pencerobohan kini tidak lagi terhad di Lahad Datu semata-mata.
Cuma yang menjadi teka-teki ialah setakat mana kumpulan Jamalul Kiram ada di Sabah kini dan berapa ramai sebenarnya?
Penulis tidak mahu membincangkan secara panjang lebar, tetapi ada terbaca sebuah laporan media Filipina bahawa pengikut Jamalul Kiram sudah ramai yang tersebar di seluruh Sabah dan kumpulan di Lahad Datu merupakan kumpulan yang terakhir masuk ke Sabah.
Editor akhbar berpengaruh Filipina itu begitu yakin dengan sumber maklumat yang ada pada dirinya.
Jadi, jika benar pengikut Jamalul Kiram sudah tersebar di seluruh Sabah, bermakna perjalanan konflik di Sabah masih jauh dari berakhir.
Apakah ada kebarangkalian ia akan berubah menjadi perang gerila,… mungkin. Penceroboh sudah menzahirkan mereka sudah nekad untuk mati.
Melihat situasi sekarang, kita tidak boleh berada dalam keadaan penafian. Rencana ini juga tidak ditulia untuk menakutkan sesiapa, tetapi membuka mata seua pihak agar bersedia untuk sesuatu yang lebih besar dan lebih buruk.
Mungkin sudah tiba masanya kita melihat situasi di Sabah sebagai perang dan diserahkan kepada tentera pula.
Ingat, puak yang menceroboh itu bukan pekerja asing atau pekerja ladang, mereka adalah kelompok yang sudah biasa berperang. Mereka adalah dari suku Tausug, yakni satu puak yang garang dan turut digeruni tentera Filipina.
Berperang adalah umpama cara hidup bagi mereka. Kejadian di Semporna memberikan isyarat jelas kemampuan perang gerila dan kemahiran serang hendap yang dimiliki penceroboh berkenaan.
Justeru, melihat kepada kemampuan penceroboh, perkara yang menjadi persoalan kini ialah bila pencerobohan yang berlaku akan berakhir dan berapa ramai lagi yang akan terkorban?
Tujuh kematian anggota keselamatan dalam masa beberapa hari adalah sesuatu episod yang mungkin sudah lama tidak berlaku di negara ini.
Selain tempoh, penulis teringin sangat hendak tahu siapalah punya angkara menjahanamkan Sabah?
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pantas membuat penafian dan seperti biasa mengarahkan para peguamnya untuk menyaman Reuters dan Utusan Malaysia, yang sebelum ini telahpun gagal dalam banyak dakwaan saman fitnah. Sangat memalukan
Namun, kenapa hanya dua itu sahaja?
Sebenarnya, sebelum kedua media berkenaan melaporkan hal itu, media sosial penyokong (macai) UMNO, telah beminggu lebih awal mendedahkan penglibatan Anwar dalam isu di Sabah. Kedua pihak itu boleh dikatakan lambat melaporkan isu itu.
Tempoh dan siapa serta berapa ramai yang akan terkorban….ke mana hala tuju konflik Sabah…yang pasti akan kekal dalam lipatan sejarah negara ini.

Kisah Kesulatanan Sulu Pajak Sabah pada Malaysia

Pada 09hb (kelmarin) YM Datu Albi Ahmad Julkarnain (gambar) yang menjawat Pengerusi Rumah Bichara (Council of Regents) Sultanate of Sulu dan Pengerusi Majlis Datu Diraja Sulu (Council of Royal Datus) telah memaklumkan kepada penulis bahawa dokumen penting telah beliau emailkan seperti yang penulis minta beberapa minggu lalu.

Dokumen tersebut beliau dapat dari pejabat Gobernor Abdul Sakur Tan di Jolo, Sulu setelah pertemuan ringkas mereka. Isunya ialah berkenaan wang hasil Pajakan Sabah. Untuk menjelaskan hal ini penulis perlu memberitahu pada pembaca blog sekalian bahawa, penulis tidak bermaksud memaparkan dokumen ini kerana ingin menunjuk-nunjuk bukti terhadap Pajakan Sabah seingga menyebabkan rasa kurang senang rakyat dan kerajaan Malaysia.

Hal ini telah pun penulis singgung dalam buku "Tausug & Kesultanan Sulu" dalam bab Pajakan Sabah termasuk surat perjanjian yang turut disertakan. Pendirian penulis sama dengan apa yang tertulis dalam buku tersebut iaitu "Sabah tetap masih dalam PAJAKAN" yang sekarang selamat dalam tangan Malaysia. Tausug lebih suka Sabah berada dalam tangan Malaysia berbanding jatuh ke tangan Filipina. Itulah pendirian penulis hingga saat ini.

 
KEKELIRUAN TERHADAP "WANG PAJAKAN SABAH"

Berikut adalah penjelasan penulis yang mungkin boleh diambil sebagai maklumat penting kepada Kerajaan Malaysia. Dokumen ini terpaksa didedahkan di blog ini kerana penulis menganggap bukanlah satu rahsia. Sahabat-sahabat wartawan di Kuala Lumpur bolehlah menyimpan dalam arkib mereka. Banyak lagi dokumen lain yang ada di tangan penulis dan YM Datu Albi salah satunya ialah dokumen ini.

Terdapat kekeliruan yang perlu diperjelaskan berkenaan "Pajakan Sabah" iaitu,
Benarkah Sabah Kesultanan Sulu yang punya? Manakala Malaysia hanya memajaknya? Apa buktinya?
Kiranya benar masih tetap Pajak, kepada siapa Malaysia membayar sewanya? Kepada Kesultanan Sulu atau kepada "waris" Kesultanan Sulu?
Kalau sewa dibayar kepada waris siapakah waris tersebut?

Penjelasan,
Benarkah Sabah Kesultanan Sulu yang punya? Jawapannya ada dalam buku penulis "Tausug & Kesultanan Sulu". Segala bukti ada di sana termasuk salinan surat perjanjian 1878. Rasanya penulis tidak akan menjawapnya di ruangan blog ini.

Bukti pembayaran pajakan ada dalam web site Sultan Fuad di www.royalsulu.com. Membuktikan pembayaran pajakan Sabah oleh Kerajaan Malaysia masih berterusan. Di sini penulis ada beberapa persoalan yang perlu dijawap, persoalan ini rangkanya ada dalam buku "Tausug",
Benarkah "Wang Pajakan" itu dianggap "Pampasan" bukannya sebagai wang sewa?
Sekiranya Peguam Negara Malaysia mengatakan "Pampasan" mengapa dibayar setiap tahun? Sedangkan pampasan ialah dibayar sekali sahaja (Lum-Sum) bukannya dibayar setiap tahun. Dan kalau juga dianggap sebagai "Pampasan" kemungkinan akibatnya adalah besar kerana terdapat laporan Sultan Muhammad Jamalul Alam menyebutnya "sewa" bukannya "pampasan" (ruj: Tausug & Kesultanan Sulu dalam bab Sebelum dan Selepas Pajakan North Borneo).

Istilah "pampasan" tidak boleh diletak oleh kerajaan Malaysia terhadap Pajakan Sabah. Ianya tidak tepat sama sekali. Kecualilah ianya dianggap sebagai "Pampasan" kepada keluarga Sultan Jamalul Alam untuk mereka "menutup mulut".

Penulis berkeyakinan bahawa Malaysia menurut sahaja "maksud" sebenar Hakim Makaskie pada 1939 iaitu "menutup mulut" keluarga Sultan Muhammad Jamalul Kiram II dari menuntut North Borneo ketika itu. Sekiranya kita perhalusi adalah benar ianya bermaksud "pampasan" bukannya wang sewa seperti yang dimaksudkan dalam perjanjian Pajakan 1878. Nampaknya yang memulakan "pengalihan maksud" sebenar pajakan ialah Hakim Makaskie sendiri.

Mengapa ianya bermaksud "pampasan"? Penjelasannya amatlah mudah iaitu Pampasan dan Pajakan (sewa) mempunyai konotasi yang berbeza. Perbezaannya ada dalam istilah "Kesultanan Sulu" dan "Waris Sultan Sulu". Pajakan North Borneo telah ditandatangani oleh Sultan Muhammad Jamalul Alam dengan Alfred Dent de Over Beck iaitu antara "penyewa tanah" dan pemiliknya "Sultanate of Sulu" (Kerajaan Sulu) yang diwakili Sultan ketika itu. Inilah yang dikatakan Pajakan.


Tetapi adalah berbeza sekiranya yang diberi hak menyambung penerimaan wang "Pajakan" itu ialah individu (9 waris Sultan) bukan lagi Kerajaan Sulu. Diulang sekali lagi BUKAN LAGI KERAJAAN SULU. Maka tidak sesuai lagi diletak dengan istilah "pajakan" maka istilah yang lebih sesuai adalah "pampasan". Nampaknya Malaysia benar dalam meletak istilah "pampasan" kepada penerima wang keluarga Kiram tersebut. Namun ianya masih keliru, kerana tiada istilah "pampasan" yang dibayar setiap tahun atau bulan kecuali dengan nama "sewa".

Pampasan membawa maksud "pemutusan perjanjian dengan bayaran tertentu sekali bayar" bukannya "berkali-kali bayar". Seorang pekerja yang diberi tawaran berhenti kerja oleh majikannya telah bersetuju untuk berhenti kerja dengan bayaran tertentu secara "lum-sum" yakni sekali bayar sahaja.


KENYATAAN YANG BENAR

Sebenarnya Malaysia "boleh" tidak membayar sekiranya ia melibatkan "Kesultanan Sulu". Kesultanan Sulu atau "Sultanate of Sulu" bermaksud Kerajaan Sulu yang terdiri dari rakyat jelata dan pemimpinnya iaitu Sultan. Ikatan ini disebut "Sultanate of Sulu". Ia tidak perlu dibayar kerana Kerajaan Sulu sudah hilang maka secara semula jadi "pajakan" juga hilang.

Oleh kerana konteks Hakim Makaskie ialah "Waris Sultan" lantaran pampasan telah diberi kepada waris-waris Sultan Muhammad Jamalul Kiram II bukannya kepada Kerajaan Sulu sendiri, maka kerajaan Malaysia juga "wajib" meneruskan pembayaran "pampasan" oleh Hakim Makaskie kepada waris tersebut. Adalah kerana telah diputuskan oleh mahkamah British di North Borneo ketika itu. Sebarang kegagalan Malaysia membayarnya akan mengakibatkan 9 waris Sultan Sulu itu mendakwa Kerajaan Malaysia di Mahkamah pada bila-bila masa.

Berkenaan hal ini YM Datu Albi Ahmad Julkarnain mempunyai pandangannya sendiri dari sudut Majlis Datu Diraja Sulu (Council of Royal Datus). Sebulan yang lalu beliau telah dipanggil oleh Gobernor Abdul Sakur Tan ke pejabatnya di Jolo, Sulu kerana ada berita menarik yang perlu disampaikan. Sesampai di pejabat tersebut Abdul Sakur telah menunjukkan kepada Datu Albi dua helai surat yang beliau dakwa "surat kepada kerajaan Malaysia menuntut naikkan harga bayaran sewa Pajakan Sabah". Beliau juga mendakwa baru balik dari North Borneo berbincang dengan wakil kerajaan Malaysia.

YM Datu Albi terkejut lalu bertanya siapa yang arahkan Abdul Sakur buat surat itu dan pergi jumpa kerajaan Malaysia? Abdul Sakur memberi tahu bahawa yang suruh beliau ialah Sultan Esmail Kiram II bin Datu Punjungan. Datu Albi dengan nada kecewa berkata,

"Siapa Esmail? Wakil kepada 9 waris keluarga kiram? Adakah mereka fikir mereka sahaja "waris Sultan Sulu" manakala beribu-ribu waris Sultan yang lain tidak? Kami dari Majlis Para Datu menentang pembayaran Malaysia terhadap 9 Waris ini. Mana mungkin waris sultan hanya 9 orang? Mereka ini penjual negara, jangankan negara yang mereka tidak jual, tanah kubur tempat ayahanda mereka bersemadi pun mereka mahu jual."

YM Datu Albi berkata kepada penulis bahawa Esmail Kiram telah diarahkan oleh Kerajaan Filipina mengugut Malaysia untuk menambahkan bayaran wang pajakan Sabah. Fuad dan Esmail menurut Datu Albi tidak mungkin berjuang untuk rakyat bangsa, negara dan agama tercinta bersama Tausug, kecuali mahukan habuan wang dan kesenangan hidup sahaja.

Berkenaan hal ini YM Datu Albi berhajat ke Kuala Lumpur untuk lawatan silaturrahim bertemu sahabat-sahabat beliau kemudian beliau kemungkinan ke Sandakan untuk melawat keluarganya yang ramai terutama di Sandakan. Datu Albi memaklumkan bahawa ayahanda beliau sebenarnya dilahirkan di Sandakan.

Pengganas Sultan Sulu tidak sayang nyawa



SULTAN SULU, Jamalul Kiram III menghubungi adiknya, Raja Muda Agbimudin yang mengetuai 200 pengikutnya untuk menceroboh Sabah pada satu sidang akhbar di Alabang, Manila.


MANILA - Jurucakap Sultan Sulu, Jamalul Kiram III menegaskan bahawa 'tentera diraja' yang memasuki Sabah akan berjuang hingga ke hujung nyawa dan tidak sesekali meninggalkan negeri tersebut.
"Kami telah membuat keputusan bahawa maruah lebih utama daripada nyawa," kata jurucakap berkenaan, Abraham Idjirani di sini semalam.
Menurutnya, konfrontasi kumpulan mereka dengan pasukan keselamatan Malaysia di Sabah masih belum berakhir dan menolak kenyataan sebaliknya oleh pemerintah Filipina sebelum ini.
Namun, Idjirani mengesahkan tiada pertempuran antara baharu berlaku antara kedua-dua belah pihak sejak pukul 8 malam kelmarin.
Dalam insiden kelmarin, seramai 12 warga Filipina dan dua komando polis Malaysia terbunuh dalam pertempuran pasukan komando polis dengan sekitar 200 anggota kumpulan itu yang diketuai Raja Muda Agbimuddin Kiram

SEORANG anggota komando polis berkawal di kawasan sekitar 3 kilometer dari lokasi kumpulan bersenjata Filipina berkubu di luar Lahad Datu, Sabah.


Mengulas mengenai nasib Agbimuddin, Idjirani berkata, raja muda itu telah berpindah ke lokasi lain untuk meneruskan perjuangan mereka.
"Jika konfrontasi ini berakhir, ia bermakna sama ada Raja Muda dan pengikut-pengikutnya dibunuh atau ditangkap," ujarnya.
Kumpulan bersenjata itu menyeludup masuk ke sebuah kampung di Lahad Datu, Sabah sekitar tiga minggu lalu untuk menuntut hak ke atas negeri Sabah.
Dalam pada itu, anak perempuan Kiram III, Jacel Kiram semalam turut menggesa saudara lelakinya itu supaya terus berjuang hingga ke titisan darah terakhir.
"Keputusan kami tetap sama. Mereka tidak akan pulang kerana maruah lebih tinggi nilainya daripada nyawa," kata Jacel dalam satu kenyataan semalam.
"Saki baki 224 pengikut Sultan Sulu di Sabah memutuskan untuk mati di Lahad Datu bagi mengejar impian dan aspirasi mereka," tegasnya.
Menurut wanita tersebut, selepas sembilan pengikut lelaki dan seorang wanita dikebumikan, semua 224 anggota kumpulan mereka yang masih tinggal memutuskan untuk menyerahkan nasib kepada takdir. - Agensi

Pengganas Sultan Sulu diberi kata dua


NAJIB (tengah) memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Zulkifli (keranda kiri)
dan Sabarudin di Pangkalan TUDM, Subang semalam.


SUBANG - Datuk Seri Najib Tun Razak semalam memberi kata dua kepada kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah supaya menyerah diri atau berdepan sebarang tindakan yang akan diambil pihak berkuasa Malaysia.
Perdana Menteri berkata, masa untuk mempertimbangkan sebarang permintaan kumpulan penceroboh yang mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu dari selatan Filipina itu sudah berakhir.
"Kerajaan Malaysia amat bertegas dalam hal ini, kerana jenayah yang dilakukan oleh kumpulan penceroboh itu amat serius," katanya selepas memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah dua anggota polis Komando VAT 69 yang terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh itu di Pangkalan Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang dekat sini semalam.
Dua anggota komando polis, Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46, terkorban setelah terkena tembakan kumpulan penceroboh itu di kampung tersebut yang terletak kira-kira 130 kilometer dari pekan Lahad Datu kelmarin.
Dalam insiden itu, tiga lagi anggota keselamatan negara cedera dan 12 anggota kumpulan itu maut.
Pesawat Charlie C130 TUDM yang membawa jenazah kedua-dua wira negara tiba dari Tawau pada pukul 12.30 tengah hari dengan disambut perasaan sayu dan hiba oleh anggota keluarga serta mereka yang hadir.
Turut berangkat menziarahi jenazah wira negara itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah yang berkenan meluangkan masa bersama keluarga Zulkifli dan Sabarudin serta menyampaikan sumbangan peribadi baginda.
Dalam pada itu, menurut Najib, beliau telah menghubungi Presiden Filipina, Benigno Aquino III dan memaklumkan pendirian kerajaan berhubung perkara tersebut.
"Kerajaan mengambil pendirian bahawa masa untuk mempertimbangkan apa jua permintaan kumpulan tersebut sudah berakhir.
"Mereka hanya ada dua pilihan iaitu sama ada menyerah diri ataupun menerima apa-apa tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa dan pihak keselamatan," katanya.
Najib bagaimanapun enggan mengulas mengenai tempoh yang akan diberikan kepada kumpulan penceroboh itu untuk menyerah diri.
Sementara itu, menurut Najib, kumpulan penceroboh telah menggunakan taktik mengibarkan bendera putih (sebagai tanda menyerah diri) untuk memerangkap anggota VAT 69.
Ujarnya, perkara itu disahkan oleh salah seorang anggota yang terbabit dalam pertempuran di kubu kumpulan penceroboh bersenjata.
Najib memberitahu, beliau dimaklumkan bahawa dua anggota polis yang terbunuh telah melihat bendera putih dikibarkan sebelum rakan kumpulan penceroboh itu memerhati gerak-geri anggota polis tersebut dan melepaskan tembakan.
"Saya tidak menolak kemungkinan itu satu perangkap dan ia adalah satu taktik pengecut," katanya.

Musuh guna taktik pengecut


Oleh EKHWAN HAQUE FAZLUL HAQUE DAN NA’IMAH MOHAMED
SUBANG: “Mereka mengibarkan bendera putih sebagai tanda menyerah diri sebelum menembak anggota pasukan keselamatan kita. Itu taktik pengecut!,” demikian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai tindakan kumpulan penceroboh yang mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu yang menembak mati dua anggota komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mencederakan tiga yang lain.
Itu adalah laporan diterima Najib dan disahkan oleh anggota pasukan komando PDRM yang diperangkap kumpulan penceroboh berkenaan dalam kejadian tembakan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, pagi kelmarin.
“Pasukan keselamatan kita terperangkap kerana tidak menyangka apabila melihat bendera putih, tiba-tiba tembakan dilepaskan. Ini satu perangkap dan jika taktik itu digunakan, ini bermakna mereka pengecut.

“Tindakan itu menyebabkan dua anggota komando terkorban,” katanya dalam sidang media di Pangkalan Udara Subang, di sini, semalam.
FotoNAJIB, isteri dan ahli keluarga terdekat menyambut ketibaan jenazah dua komando yang terkorban.

Beliau berkata, Malaysia bertegas dalam menangani isu ini kerana apa dilakukan kumpulan penceroboh adalah jenayah serius iaitu menceroboh negara dengan senjata dan membunuh dua serta mencederakan tiga lagi anggota pasukan keselamatan.

5 terkorban serang hendap di Semporna

 

5 terkorban serang hendap di Semporna

Oleh Mohd Razlan Salleh dan Muhaamad Hafis Nawawi
LAHAD DATU: Lima anggota polis terkorban selepas diserang hendap beberapa penjenayah bersenjata api di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, polis yang menerima maklumat terdapat beberapa individu bersenjata di perkampungan atas air berkenaan bergegas ke tempat kejadian.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, satu pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna yang tiba ke tempat kejadian tiba-tiba diserang sekumpulan penjenayah yang melepaskan tembakan.

Menurutnya, bagaimanapun dalam serangan terbabit lima orang terdiri pegawai dan anggota polis terkorban. Dua penjenayah yang menyerang polis turut terbunuh.

"Kita juga sudah menghantar pasukan tambahan ke Semporna bagi meningkatkan keselamatan di sana.

"Sementara itu, pada 10 malam tadi kita mengesan 10 orang telah menceroboh Kampung Lormalong dan Kampung Dasar Lama di Kunak, dekat sini. Kita percaya mereka ini adalah orang luar dan bukan rakyat negara ini," katanya pada sidang media Ops Sulu di Felda Sahabat 16, di sini, hari ini.

Ismail berkata, tiga daripada penceroboh terbabit dipercayai bersenjata dan pihaknya kini sedang berusaha mengesan kumpulan itu.

"Setakat ini hanya tiga kawasan terbabit dan daerah lain tiada apa yang berlaku.

"Kita juga sedang menyiasat sama ada ketiga-tiga kejadian ini mempunyai kaitan dengan pencerobohan di Kampung Tanduo," katanya.

[Terkini] Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Senior Asisten Komisioner Hasanuddin Hassan mengesahkan Superintendan Ibrahim Lebar, 52, terbunuh dalam serangan di Semporna.

DOA BUATMU PERWIRA NEGARA

DOA BUATMU PERWIRA NEGARA

Bismillahirrahmanirrahim :

Ya Allah Ya Tuhan kami, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Tuhan yang mempunyai kekuasaan dan kebesaran. Tuhan penganugerah keselamatan dan kesejahteraan. Kami hamba-hamba-Mu menadah tangan sebagai tanda syukur yang tidak terhingga untuk dihitungnya, atas keselamatan dan kesejahteraan, kesihatan dan kenikmatan yang Engkau anugerahkan ke atas negara kami yang tercinta ini Ya Allah.

Ya Allah ya Tuhan kami, Engkau campakkanlah jaluran kerahmatan yang berpanjangan kepada kami, Engkau simpulkanlah ikatan ukhwah penuh keserasian, Engkau labuhkan tirai keampunan maghfirah penuh keinsafan, Engkau jaringkan tangsi hidayah dan inayah yang berkekalan, Engkau titiskan darjah kesolehan dan kesihatan yang berkekalan buat kami, anak-anak watan juga keluarga yang tersayang.

Wahai pejuang-pejuang dan perwira-perwira negara, bangkit dan bersumpahlah berpaksikan kalimah akidah tauhid Laailahaillallah Muhammadur Rasulullah, bahawa tidak akan kami biarkan bumi yang bertuah penuh bersejarah ini, diinjak pijak, disentap rentap, diselat lipat dek musuh durjana petualang bangsa ya Allah.

Tidak akan kami biarkan, biar ia putih bersih, tidak akan kami biarkan ya Allah, biarkan kami mencurahkan segala kesangggupan dan keupayaan kami di dalam mempertahankan negara kami dari sebarang kekacauan, huru hara dan pencerobohan. Biarkan kami berputih tulang namun tidak sekali-kali kami berputih mata menyerahkan kedaulatan negara kepada pengkhianat bangsa, agama dan negara Malaysia yang kami cintai ini walaupun roh kami melayang menjadi taruhan menyembah sujud bertemu-Mu ya Salam.

Ameen Ya ALLAH

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Bismillahirrahmanirrahim :

Ya Allah Ya Tuhan kami, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Tuhan yang mempunyai kekuasaan dan kebesaran. Tuhan penganugerah keselamatan dan kesejahteraan. Kami hamba-hamba-Mu menadah tangan sebagai tanda syukur yang tidak terhingga untuk dihitungnya, atas keselamatan dan kesejahteraan, kesihatan dan kenikmatan yang Engkau anugerahkan ke atas negara kami yang tercinta ini Ya Allah.

Ya Allah ya Tuhan kami, Engkau campakkanlah jaluran kerahmatan yang berpanjangan kepada kami, Engkau simpulkanlah ikatan ukhwah penuh keserasian, Engkau labuhkan tirai keampunan maghfirah penuh keinsafan, Engkau jaringkan tangsi hidayah dan inayah yang berkekalan, Engkau titiskan darjah kesolehan dan kesihatan yang berkekalan buat kami, anak-anak watan juga keluarga yang tersayang.

Wahai pejuang-pejuang dan perwira-perwira negara, bangkit dan bersumpahlah berpaksikan kalimah akidah tauhid Laailahaillallah Muhammadur Rasulullah, bahawa tidak akan kami biarkan bumi yang bertuah penuh bersejarah ini, diinjak pijak, disentap rentap, diselat lipat dek musuh durjana petualang bangsa ya Allah.

Tidak akan kami biarkan, biar ia putih bersih, tidak akan kami biarkan ya Allah, biarkan kami mencurahkan segala kesangggupan dan keupayaan kami di dalam mempertahankan negara kami dari sebarang kekacauan, huru hara dan pencerobohan. Biarkan kami berputih tulang namun tidak sekali-kali kami berputih mata menyerahkan kedaulatan negara kepada pengkhianat bangsa, agama dan negara Malaysia yang kami cintai ini walaupun roh kami melayang menjadi taruhan menyembah sujud bertemu-Mu ya Salam.

Ameen Ya ALLAH