UNGKAPAN AKU CINTA PADAMU
Sewaktu bercinta dahulu anda sering meluahkan perasaan cinta kepada pasangan, bukan? Jadi sentiasa luahkan ungkapan romantik itu terhadap pasangan anda. Kesibukan bekerja bukanlah halangan untuk bermesraan. Ambil dan curi sedikit masa untuk menghubungi atau menghantar mesej ringkas menyatakan rasa cinta anda terhadap pasangan. Gunakan kecanggihan laman sosial seperti Facebook mahupun Twitter untuk melahirkan perasaan anda itu.
CIUMAN KE PEJABAT
Sentiasa jadikan ciuman dan pelukan erat buat suami sebelum ke pejabat sebagai amalan. Kemesraan yang terjalin itu pasti membuatkan pasangan anda bersemangat untuk bekerja seterusnya tidak sabar pulang ke rumah untuk bertemu anda. Sentiasalah menanti kepulangan suami anda dengan senyuman serta mengenakan persalinan yang bersih dan wangi.
KEJUTAN
Sudah menjadi lumrah wanita sukakan kepada kejutan. Ambil peluang ini untuk menghargai isteri anda dengan pemberian hadiah atau menghantar bunga. Sekuntum bunga bersama kad ucapan bermadah romantik sudah cukup membuatkan pasangan anda tersenyum lebar sepanjang hari. Bagi para isteri yang berani pula, anda boleh cuba menghadiahkan bunga kepada suami. Biarkan mereka rasai pula kejutan daripada anda. Suami pasti akan mengingati momen tersebut sampai bila-bila.
PUJIAN DAN DORONGAN
Berikanlah pujian dan dorongan kepada pasangan biarpun sesuatu perkara yang dilakukan itu tidak begitu sempurna. Tegur kesilapan mereka dengan nada lembut dan akhiri perbualan dengan pujian yang beliau mampu melakukan lebih baik pada masa akan datang. Pujian dan dorongan suami akan membuatkan isteri terharu dan sentiasa ingin berubah menjadi lebih baik.
SALING MEMAHAMI DAN MENGHORMATI
Jangan memarahi pasangan anda sekiranya beliau tidak dapat memenuhi kehendak anda. Tindakan rasional anda yang menghormati kekurangan pasangan akan membuatkan pasangan rasa dihargai. Lebih indah, rumah tangga anda kian utuh rentetan sikap matang mengendali permasalahan secara bijak.
SIKAP EGO
Sentiasa berkomunikasi sekiranya anda berhadapan dengan pelbagai kesulitan. Komunikasi penting dalam mencari penyelesaian antara kalian berdua. Singkirkan perasaan ego anda dan ungkapkan ‘MAAF’ jika anda melakukan kesalahan. Jangan biarkan rumah tangga anda terus dibelenggu persoalan kerana ia bakal memberi kesan negatif. Dan ingat, jangan pula anda membesar-besarkan isu tersebut apabila pasangan mengakui kesalahan dan meminta maaf.
BERCUTI
Memang benar kehidupan anda kian sibuk dengan kehadiran cahaya mata. Namun, jangan jadikan ia sebagai alasan untuk tidak meluangkan masa bersama. Tinggalkan anak anda kepada keluarga terdekat dan pilihlah destinasi percutian pilihan anda. Nikmati saat anda berdua dengan suasana romantik dan alunan muzik yang indah. Pastinya ia mampu mengembalikan kenangan berbulan madu suatu waktu dahulu.
No comments:
Post a Comment